Friday, January 12, 2018

post tentang cinta few years back, waktu tak kawen lagi, 2018 ni berazam untuk jadi isteri dan ibu yg lebih baik :)

Cinta seringkali membuatkan hari-hari yang suram menjadi terang tapi seringkali jua cinta itu sangat menyakitkan hingga melumpuhkan semangat untuk terus hidup. Sesiapa sahaja boleh jatuh cinta tanpa dia sendiri menyedarinya kerana fitrah manusia dicipta dengan ‘mahabbah wa rahmah’. Tanpa cinta mungkin tiada lagi keamanan di dunia ini. Tetapi apakah kita menyalurkan perasaan itu ke jalan yang betul bersesuaian dengan syariat Allah? Hmm..terlalu rumit untuk berbicara soal cinta ini. Mungkin masyarakat kita terlalu disogokkan dengan rancangan-rancangan televisyen dari luar malahan sesetengah drama Melayu kita sendiri menunjukkan contoh tidak baik kepada umat Islam seolah-olah hubungan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim tidak ada salahnya. Bersentuhan bukan lagi suatu perkara terlarang malahan ia dapat  menunjukkan yang kita ini seorang yang ‘open minded’ dan tidak konservatif sedangkan ia adalah perkara yang sama sekali dilarang oleh Allah swt. Analogi yang ingin saya gunakan di sini mudah saja, sebagai contoh, kita pernah digemparkan dengan suatu kes di mana beberapa pelajar jurusan perubatan yang beragama Islam bergambar dengan anjing. Masyarakat masing-masing menyuarakan pendapat dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelajar-pelajar itu.tetapi cuba kita fikirkan jika kita bersentuhan dengan anjing, masih boleh ‘dibersihkan’ tapi jika bukan muhrim yang bersentuhan,kita terus mendapat dosa tanpa boleh dibersihkan kecuali sebenar-benarnya taubat..tapi masyarakat Islam kita pada hari ini hanya memandang remeh perbuatan ini, perbuatan mulia seperti bersalaman sesama Muslim tiba-tiba dicemari apabila perempuan dan lelaki bersalaman..biarpun niat di hati adalah baik namun hakikatnya ia adalah haram..renung-renungkan…      
                Saya begitu tertarik dengan kata-kata seorang ustaz apabila ditanyakan oleh seseorang tentang bagaimana mahu melahirkan anak-anak yang bukan sahaja soleh malahan cerdas akal fikirannya. Kata beliau, anak-anak itu takkan terbentuk dengan hanya diberi didikan setelah dia dilahirkan tetapi apa yang paling penting adalah hubungan ibu bapa itu sendiri sebelum mereka diijabkabulkan.  Bagaimana mungkin zuriat yang solihin akan lahir jika bakal ibu bapanya selalu keluar berduaan bersama makhluk ketiga dan segala di ingatan hanya berkisar tentang sang kekasih hati sehinggakan mengenepikan Allah sebagai yang paling berhak untuk mendapat tempat yang utama di hati kita, Masya-Allah..setiap dari kita  bersentuhan tangan pun sudah haram apatah lagi yang lain-lain.di sini kita dapat melihat bahawa betapa Islam itu amat suci. pasti pernah terlintas di fikiran kita bahawa tiada salahnya untuk keluar bersama sebelum berkahwin dalam proses kenal mengenal. Cinta yang didorong oleh hawa nafsu kelak akan lebih banyak membawa kepada keburukan.  

Mungkin terlintas di hati para sahabat yang terbaca tulisan ini bahawa masih terlalu awal untuk anda merancang sebuah keluarga, saya pun pernah terfikir perkara yang sama tetapi kita tidak dapat menjangka apa yang menunggu di hadapan kita, jodoh pertemuan ada di tangan Allah, semua yang berlaku dalam pengetahuanNya  dan tidak mungkin terjangkau dek fikiran kita yang cetek ini. Islam itu indah, ia menganjurkan umatnya untuk saling berkenalan dan amat mementingkan batas-batas hubungan antara ajnabi untuk menjaga kesucian hubungan itu. Peliharalah kehormatan diri kita baik lelaki mahupun perempuan. insyaAllah, tidak ada ruginya. saya juga pernah merasai pengalaman putus cinta. Sangat pedih rasanya hingga kita tidak mampu berbuat apa-apa selain tercari-cari di mana silapnya kita dalam perhubungan yang dibina itu. Tapi sedarlah wahai diri, Allah itu terlalu agung. Pasti ada sesuatu yang ingin disampaikan dalam setiap kejadian yang berlaku pada diri kita. Perlahan-lahan saya mula percaya bahawa Allah patahkan jiwa saya suatu ketika dahulu untuk menyelamatkan jiwa ini dari terus leka dengan nikmat cinta manusia yang bersifat sementara lebih-lebih lagi tanpa sebarang ikatan yang sah. Pokoknya, baliklah kepada fitrah kejadian manusia, carilah cinta yang hakiki yang ada hanya pada-Nya J tepuk dada Tanya iman..dan keluarga yang bagaimana mahu dibentuk..


2 comments: